NEW DELHI: Bekas Menteri Kewangan Ishaq Dar dilantik sebagai Menteri Luar Pakistan yang baharu.

Muhammad Aurangzeb, merupakan tokoh perbankan, dilantik Menteri Kewangan baharu.

Presiden Asif Ali Zardari menyaksikan majlis angkat sumpah jawatan kedua-dua menteri baharu dalam kerajaan Perdana Menteri Shehbaz Sharif di Istana Presiden, Aiwan-e-Sadr, di Islamabad pada Isnin.

Aurangzeb meletak jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Habib Bank Limited (HBL), bank terbesar Pakistan sebelum menyertai Kabinet Shehbaz yang dianggotai 19 menteri.

Dar bekas Menteri Kewangan empat kali adalah penyokong setia abang Shehbaz yang juga bekas Perdana Menteri Nawaz Sharif.

Dar yang merupakan akauntan bertauliah, kembali ke Pakistan dari London pada September 2022 selepas bersuaka kira-kira lima tahun.

Nawaz, yang menyokong Shehbaz untuk jawatan Perdana Menteri, kembali ke Pakistan pada Oktober 2023 selepas empat tahun memilih hidup dalam buangan di United Kingdom.

Dalam portfolio penting lain, Khawaja Mohammad Asif berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan, jawatan yang disandangnya semasa Shehbaz kali pertama dilantik sebagai Perdana Menteri antara April 2022 dan Ogos 2023 berikutan penyingkiran kontroversi Imran Khan sebagai Perdana Menteri dalam undi tidak percaya di Parlimen.

Mohsin Naqvi, bekas Ketua Menteri sementara wilayah Punjab, memegang jawatan Menteri Dalam Negeri.

-- BERNAMA